5 Perkara tidak patut anda lakukan di Facebook

Sekarang ini, jaringan sosial Facebook sudah amat sebati dengan masyarakat dunia, tidak kira golongan kanak-kanak, remaja mahupun golongan dewasa kerana menyediakan hampir seribu satu kemudahan (komunikasi, hiburan, pengetahuan malah publisiti!) kepada setiap penggunanya.
Walaubagaimanapun, seribu satu kebaikan itu tidak semestinya menjangkau segala perkara. Terdapat isu dan perbalahan mengenai penggunaan Facebook, antaranya ‘perang komen’, defamatori, saman-menyaman dan pelbagai lagi (termasuklah kes cerai-berai kerana Facebook).
Oleh yang demikian, kita akan berkongsi 5 perkara yang tidak patut anda lakukan di Facebook kerana pelbagai asbab dan faktor.

1. Kaki “Approve” Kawan
Had 5000 kawan di dalam daftar senarai ‘friend list’ Facebook bukan sedikit, namun sekiranya anda diantara mereka yang hampir atau telah mencecah daftar kawan melebihi angka ini (anda bukan seorang selebriti, atau mereka yang popular dengan video yang diupload ke Youtube), anda patut mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya anda yang mempunyai bos atau majikan yang “kaki intip”. Almaklumlah, kebiasaannya anda meluahkan ikut sedap hati saja kalau ada yang tak sedap di hati atau memaki hamun di status anda; Pasti mengundang sakit hati atau “keterasaan” pada bos, rakan-rakan atau sesiapa yang terasa dengan anda. Sebaiknya, anda patut berhati-hati dalam menerima atau ‘approve’ pelawaan sesiapa yang ingin menjadi kawan anda dan sebaik-baiknya biarlah anda mengenali siapa yang mempelawa dan bukan ‘gatal tangan’ hendak angka 5000!

2. Gambar “Over-Rated” dan “Uncensored”
Kalau di televisyen atau di panggung wayang, pasti ada FINAS untuk menapis gambar yang patut dan tidak patut di tayangkan di sesuatu tajuk filem.Gambar-gambar di Facebook juga patut anda tapis dan bukan hanya tangkap-muat saja ke wall anda. Bagi sesetengah orang, berkongsi gambar di wall mereka meningkatkan imej dan keyakinan diri mereka. Walaubagaimanapun, AWAS! Jangan terlalu ‘gila’ untuk berkongsikan gambar rumah anda, kereta bersama nombor plat, malah elakkan sama sekali memuat naik sebarang gambar peribadi anda (Gambar kejiranan, sekolah, universiti tempat anda melepak, kafe / tempat yang anda sering kunjungi) untuk mengelakkan menjadi mangsa kepada mereka yang ingin mengambil kesempatan kepada anda. Bagi mereka yang gemar berkongsi gambar berpelukan atau berciuman dengan pasangan, elakkan. Terus terang, tidak ramai yang rasa cemburu sebaliknya merendahkan maruah diri dan pasangan anda.
facebook-album
(Sumber Imej: Prashish Rajbhandari)

3. Raja “Check-In”
Fungsi ‘tag’ atau ‘Check in’ ke destinasi atau tempat dengan terlalu kerap juga tidak patut anda lakukan. Sesetengah dari anda gemar meletakkan lokasi yang bakal anda tuju berserta dengan waktunya (contoh: 07.30PM – Movie time @GSC 1Borneo); Tahukah anda, perbuatan ini boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengesan malah menunggu anda di tempat itu? Adalah sebaik-baiknya anda elakkan ‘tag’ pada waktu sebelum anda memulakan perjalanan dan sekiranya anda ingin juga menggunakan ‘tag’ atau ‘check-in’, ‘check-in’ lokasi anda hanya selepas anda melawati tempat atau lokasi tersebut dan bukannya sewaktu berada atau sebelum di lokasi itu.

4. Status atau Komen Marah
cry
(Sumber Imej: Facebook) 

Setiap manusia ada perasaan marah atau ingin melepaskan rasa geram. Namun, Facebook bukanlah satu tempat yang baik untuk anda dengan ‘bebas’nya meluahkan maki hamun dan segala perasaan amarah di hati. Jika anda rasa anda hanya ‘melepaskan’ kata ke status Facebook untuk tatapan anda sahaja, anda salah. 60% peluang orang akan melayani anda dan memberikan anda sokongan dan selebihnya menunjukkan betapa lemahnya anda dalam menghadapi situasi. Tambahan lagi, lebih ramai yang tahu betapa celupar dan kotornya bahasa anda ketika marah!

5. Tarikh Hari Jadi
facebook-birthday
(Sumber Imej: Free Vector)
Pasti anda tertanya-tanya kenapa tarikh hari jadi tidak patut anda kongsikan di Facebook. Ini kerana kebanyakan dari anda menggunakan ‘password’ menggunakan tarikh hari jadi, malahan sesetengah akaun seperti akaun bank, email, dan sebagainya menggunakan tarikh hari jadi sebagai salah satu faktor keselamatan sewaktu anda mendaftar. Sudah pasti sekiranya anda memaparkan tarikh penuh hari jadi anda, penggodam atau mereka yang berniat jahat untuk menggodam akaun anda pasti dapat meneka dan menemui jalan alternatif untuk memasuki akaun anda!

0 komen dari pembaca: